AhmadiNews

 FATWA YANG DIKELUARKAN 

OLEH 

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA 

 

Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan berkenaan ajaran kumpulan Quran Hadith Jama’ah/Islam Jama’ah pada mesyuarat-mesyuarat fatwa yang ke-1 bertarikh 21 Oktober 2010ke-2 pada 9 December 2010, yang ke-3 pada 27 Januari 2011, yang  ke-4 pada 24 Februari 2011, yang ke-5 pada 31 March 2011, yang ke-9 pada 25 Ogos 2011, yang ke-10 15 Sep 2011, dan yang ke-11 pada 17 Nov 2011. 

FATWA 

بسم الله الرحمن الرحيم 

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه وبعد.  

 

 

Latarbelakang 

 

1        Jawatankuasa Fatwa telah menerima aduan mengenai ajaran kumpulan “Quran Hadith Jama’ah” atau juga dikenali sebagai “Islam Jama’ah” daripada masyarakat umum serta laporan akhbar Berita Minggu pada 4 April 2010.  Jawatankuasa Fatwa telah menjalankan penelitian terhadap ajaran kumpulan berkenaan untuk memastikan kesahihan ajaran mereka.  Atas dasar itu, Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan isu ini dengan mendalam dan teliti pada beberapa mesyuarat fatwa. 

Pengumpulan Maklumat 

 

2        Di dalam menilai ajaran-ajaran kumpulan ini, Jawatankuasa Fatwa telah  menggunakan sumber-sumber yang berikut sebagai sandaran:  

  1. Temuduga dengan pihak pengurusan kumpulan Islam Jama’ah cawangan Pasir Panjang, guru pembimbing kumpulan berkenaan dan beberapa bekas pengikut. 
  2. Penulisan-penulisan terbitan kumpulan berkenaan seperti berikut : 
    1. Buku Makalah 2002 & Buku Makalah 2008. 
    2. Buku Penulisan Abu Sahl bertajuk : Pengertian Jama’ah menurut Al-Quran Dan Sunnah – 2010. 
    3. Sumber bahan pengajian Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah. 
     
  3. Fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Negeri Perak Darul Ridzuan pada 9 Mei 2003, Negeri Selangor Darul Ihsan pada 24 September 1998, dan Keputusan Jaksa Agung Republik Indonesia pada 29 Oktober 1971. 
  4. Laporan akhbar Berita Minggu pada 4 April 2010. 
  5. Rakaman audio kelas-kelas pengajian yang dikendalikan Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah. 

Dapatan Jawatankuasa Fatwa berkenaan ajaran kumpulan Islam Jama’ah / Quran Hadith Jama’ah. 

 

3        Berdasarkan penelitian dan penyelidikannya, Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa ajaran kumpulan berkenaan adalah bersumberkan ajaran Nurhasan Ubaidah yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng oleh fatwa-fatwa yang dinyatakan di atas.  

4        Jawatankuasa Fatwa juga mendapati bahawa ajaran Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah di Singapura berpegang dengan beberapa konsep seperti berikut:  

    1. Konsep Jama’ah 

Mereka meyakini bahawa hanya kumpulan “Quran Hadith Jama’ah” satu-satunya jama’ah daripada umat Islam yang sah dan hanya merekalah yang akan masuk syurga. Di dalam bahan pengajaran mereka “Buku Makalah 2002” yang diedarkan kepada anggota, dinyatakan seperti berikut: “Sudah menjadi keyakinan satu-satunya jama’ah bahawa Quran Hadits Jama’ah adalah jalan tunggal masuk syurga selamat dari neraka.”[1]  

 

Pengertian Jama’ah oleh Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah ialah berdasarkan penafsiran beberapa ayat-ayat Al-Quran, antaranya Surah Ali Imran ayat 103: 

)وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا( 

Yang bermaksud : Dan berpeganglah kepada tali Allah bersatu di atasnya, dan janganlah kamu bercerai-berai

 

Berdasarkan ayat ini mereka meyakini bahawa seorang Muslim wajib berjama’ah, dengan jama’ah yang khusus dengan memiliki imam yang dibai’ah. Adapun keseluruhan kaum Muslimin yang tidak memiliki imam dan belum berbai’ah maka tidak dianggap sebagai telah berjama’ah.[2] 

Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa ayat Quran dan hadith-hadith yang digunakan oleh mereka sebagai hujjah untuk mewajibkan berjama’ah membawa maksud yang berbeza daripada apa yang difahami oleh ulama muktabar (yang diiktiraf dunia Islam). Pendapat jumhur Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah: Kalimat ”Jama’ah” yang dimaksudkan adalah umum Jama’atul MusliminImam Tirmidzi meriwayatkan :  

 

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ خَطَبَنَا عُمَرُ بِالْجَابِيَةِ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّى قُمْتُ فِيكُمْ كَمَقَامِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فِينَا فَقَالَ « أُوصِيكُمْ بِأَصْحَابِى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ... عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ...». 

 

Yang bermaksud: Dari Ibn Umar yang berkata: Umar berkhutbah di hadapan kami di Jabiyah, beliau berkata: Wahai manusia, sesungguhnya aku berdiri di hadapan kamu sebagaimana pernah juga Rasulullah berdiri di hadapan kami, beliau bersabda : “Hendaklah kamu selalu bersama para sahabatku, kemudian bersama orang-orang yang datang setelah mereka ini, kemudian bersama orang-orang yang datang setelah mereka…Hendaklah kamu bersama dengan Jemaah, dan janganlah kamu berpecah belah…”.[3] 

 

Hadith ini menjadi dalil yang kuat, bahawa yang dimaksudkan Jama’ah pada hadith-hadith tersebut bermaksud umum jama’atul Muslimin, dan bukan sebuah kumpulan yang kecil. Rasulullah s.a.w memerintahkan umatnya untuk bersama dengan para sahabat, para tabi’in dan pengikut tabi’in. Ketiga-tiga golongan ini terdiri dari kaum Muslimin secara amnya. Hadith ini sekaligus mencerminkan maksud yang diingini Nabi s.a.w, iaitu agar umat Nabi s.a.w sentiasa bersatu sebagai kaum Muslimin dan segala perpecahan di dalam umat adalah dilarang.  

 

Penafsiran ini berbeza dari apa yang difahami dan diajarkan oleh Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah, yang tidak bersandarkan kepada penafsiran ulama tafsir tetapi berasaskan penafsiran yang diajarkan oleh pengasas Jama’ah mereka Nurhasan Ubaidah.

 

Imam Ibn Abi al-‘Izz Al-Hanafi dalam Sharah Ath-Thahawiyah berkata:  

وَالْجَمَاعَة: جَمَاعَة الْمُسْلِمِينَ، وَهُمُ الصَّحَابَة وَالتَّابِعُونَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إلى يَوْمِ الدِّينِ. 

“Dan Al-Jama’ah adalah Jama’ah kaum muslimin, dan mereka itu adalah para sahabat dan tabi’in yang mengikuti mereka dengan baik hingga hari pembalasan”.[4] 

 

 Oleh itu yang menjadi wajib ke atas setiap Muslim adalah beribadah kepada Allah dan mengamalkan rukun Islam dan rukun Iman. Selagi mana seorang Muslim tidak melakukan dosa syirik dan dia terus melaksanakan rukun Islam dan Iman, maka Islam dan Iman seorang Muslim dianggap sah di sisi Allah, seperti yang dinyatakan di dalam Quran dan Hadith Nabi s.a.w, seperti berikut: 

 

Allah Subhanahu Wa Ta’ala Berfirman :  

)وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ ( 

Yang bermaksud : Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. (Adh-Dhariyat 56).  

 

Allah Subhanahu Wa Ta’ala Berfirman :  

 

)إِنَّ اللهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا( 

 

Yang bermaksud : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya (An-Nisa 48). 

    • Konsep Imamah dan Bai’ah[5] 

Para anggota kumpulan Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah meyakini bahawa menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk melantik seorang imam/amir, di mana pengasas kumpulan ini (Nurhasan Ubaidah) merupakan mujaddid zaman ini yang wajib ditaati sebagai Imam. Atas dasar ini juga mereka mewajibkan ke atas pengikut kumpulan untuk berbai’ah kepada imam, dan sesiapa yang tidak berbai’ah maka Islamnya dianggap sebagai tidak sah. Seperti yang tertulis di dalam buku Makalah edaranIslam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah: 

 

Jadi di dalam mengamalkan agama Islam wajib berjama’ah yaitu beramir, berbai’at dan tho’at. Bahkan secara tegas dinyatakan orang Islam yang belum berbai’at dan tho’at kepada seorang imam berarti Islamnya tidak sah, amal ibadahnya tidak diterima, mati sewaktu-waktu mati jahiliyah masuk neraka.

[6] 

Di antara hadith yang dijadikan hujjah Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah bagi mewajibkan bai’ah adalah sabda Rasulullah s.a.w:  

 

مَن مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيعَة مَاتَ مِيْتَةً جَاهِلِيَّة 

 

Yang bermaksud : Barangsiapa yang meninggal dunia, sedangkan dia belum berbai’ah, maka dia meninggal dunia dalam keadaan jahiliyah. [7]  

Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa konsep kewajipan Bai’ah yang dipegang oleh Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ahberdasarkan penafsiran hadith ini tidak selari dengan pendapat jumhur ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah.  

 

Para ulama Ahlus Sunnah Wal Jama’ah menegaskan bahawa imam yang wajib diserahkan bai’ah kepadanya adalah penguasa yang memegang tampuk kepimipinan umat atau negara. Perkara ini antara lain terangkum di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada ‘Ubadah bin Samit r.a. sebagai berkata: “Kami telah berbai’ah kepada Nabi s.a.w untuk sentiasa mendengar dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan yang senang ataupun susah, dan kami tidak akan merebut kekuasaan dari yang berhak dan agar kami sentiasa mengerjakan yang haq di mana pun kami berada, serta tidak takut (kerana Allah) akan celaan dari orang-orang yang mencela.”[8] 

Perkara ini dinyatakan oleh Ibn Taimiyah seperti berikut: 

وَهُوَ أَنَّ النَّبِي صَلَى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِطَاعَةِ الأَئِمَّة المَوْجُودِينَ المَعْلُومِيْنَ الَّذِيْنَ لَهُمْ سُلْطَانٌ يَقْدِرُونَ بِهِ عَلَى سِيَاسَةِ النَّاس لاَ بِطَاعَةِ مَعْدُوم وَلاَ مَجْهُول وَلاَ مَنْ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ وَلاَ قُدْرَةٌ عَلَى شَيْء أَصْلاً. 

Yang bermaksud : “Sesungguhnya Nabi s.a.w memerintahkan kita untuk mentaati pemimpin yang ada dan yang diketahui keberadaannya, yang telah diakui kekuasaan dan kedaulatannya untuk mengatur manusia. Beliau tidak memerintah kita untuk mentaati pemimpin yang tidak wujud secara nyata serta tidak diketahui keberadaannya (majhul), juga tidak mempunyai kekuasaan dan kemampuan walau sedikitpun”. [9] 

Walaupun terdapat segolongan ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang berpendapat bahawa Islam mewajibkan perlantikan imam, mereka menegaskan bahawa perlantikan seorang Imam sebagai ketua sesebuah jama’ah yang khusus bukanlah di antara rukun Iman ataupun rukun Islam seseorang. Al-Bajuri menyatakan :

 

فَلَيْسَ نَصْبُ الإِمَام رُكناً يُعْتَقَدُ فِي قَواَعِدِ الدِّيْنِ المُجْمَعِ عَلَيْهَا المَعْلُومَة بِالتَّوَاتُرِ بِحَيْثُ يُكَفَّرُ مُنْكِرُهَا كَالشَّهَادَتَينِ وَالزَّكاَة وَصَوْم رَمَضَان وَالحَجّ، لأَنَّهُ لَيْسَ مَعْلُومًا مِنَ الدِّينِ بِالضَّرُورَة، فَلاَ يُكَفَّر مُنْكِرُهُ. 

Yang bermaksud : Maka perlantikan seorang imam bukanlah rukun yang diiktikadkan sebagai dasar agama yang telah disepakati dan diketahui secara tawatur, sehingga boleh menyebabkan kekufuran orang yang mengingkarinya, seperti: Dua kalimah syahadah, menunaikan zakat, melaksanakan puasa Ramadan dan menunaikan Haji. Ini adalah kerana melantik seseorang menjadi imam (khalifah) bukanlah di antara perkara dasar di dalam agama oleh itu mereka yang mengingkarinya tidak menjadi kafir. [10] 

 

Ibn Hajar al-‘Asqalani memberi penjelasan berkenaan dengan hadith Nabi yang menyatakan siapa yang tidak berbai’ah kepada pemimpin negara maka dia “mati dalam keadaan jahiliyah” sebagai berikut : 

 

 “Kematian seperti matinya orang-orang jahiliyah di atas kesesatan kerana tidak memiliki imam yang ditaati, kerana orang jahiliyah tidak mengetahui tentang itu (ketaatan Imam). Dan yang dimaksudkan bukanlah dia mati sebagai seorang kafir, akan tetapi mati dalam keadaan bermaksiat.” [11] 

Dengan ini para ulama Ahlus Sunnah Wal Jama’ah berpendirian bahawa berbai’ah kepada pemimpin yang sah merupakan kewajipan yang jika ditinggalkan akan menyebabkan dosa tetapi tidak sampai kepada peringkat mengeluarkan seseorang daripada agama Islam.  

Oleh yang demikian, Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa pemahaman yang diajarkan kumpulan ini bahawa adalah wajibberbai’ah kepada imam tertentu di dalam sebuah jama’ah yang khusus, dan bahawa sesiapa yang tidak melakukannya maka tidak sah Islamnya, adalah tidak berlandaskan panduan Syara’.   

 

    • Konsep Ilmu Manqul:  

Kumpulan Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah meyakini bahawa ilmu agama yang diperolehi tanpa bersanad daripada Nurhasan Ubaidah adalah ilmu yang tidak sah. Bahkan pengajian yang tanpa bersanad dianggap sebagai sesat. Seperti yang tertulis di dalam Makalah :  

 

Seruan mereka dikatakan sesat kerana menyalahi pemahaman yang telah disampaikan Rasululloh Shollaohu ’alaihi wassalam kepada para shohabatnya. Mereka memahami makna dan isi ayat-ayat Al-Quran yang diwahyukan oleh Alloh tidak sesuai dengan yang telah diajarkan oleh Rosululloh Shollaohu ’alaihi wassalam kepada para shohabatnya dengan cara yang diridhoi oleh Alloh dan diterima secara benar dan dipraktekkan secara murni, jelasnya mereka tidak manqul-musnad-muttashil mukhlish jama’ah.[12]  

 

Konsep Ilmu Manqul yang disyaratkan oleh kumpulan ini di dalam pengambilan ajaran agama daripada guru, ialah dengan mementingkan setiap hadith manqul yang datangnya dari Nurhasan Ubaidah, tanpa mengambilkira darjat hadith yang dinukil. Sedangkan ulama hadith bersepakat bahawa mempelajari hadith dengan cara mengejar sanad sahaja tanpa memerhatikan darjat hadith ataupun sifat-sifat perawi dan metodologi penafsiran hadith, adalah sebuah kesilapan di dalam menuntut ilmu hadith. [13] 

 

Tidak dinafikan juga kepentingan memahami konteks dan latarbelakang sebuah hadith, bagi memperolehi kefahaman yang betul berkenaan hadith yang dibaca. Penerangan dan tafsiran para alim ulama juga perlu diambil kira dalam pengajian ilmu hadith. 

    • Konsep Fathonah Bithonah Budiluhur:  

Kumpulan Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah berpegang kepada konsep ini, yang bermaksud bahawa seseorang boleh berdusta atau berselindung dalam ajaran dan dakwah mereka untuk menyelamatkan diri ataupun jemaah.  Definisi konsep Fathonah Bithonah yang dinyatakan di dalam buku edaran mereka adalah seperti berikut :  

 

[Ringkasan kisah] : Bp. H. Ubaidah diajak berdebat di sebuah asrama di Surabaya, beliau datang dengan memakai jubah dan serban. Kemudian beliau ternampak ada seekor anjing yang jinak, lalu beliau mendokong anjing tersebut ke dalam ruang pertemuan. Tujuan beliau adalah untuk mengalihkan tajuk pembahasan dari ”Bai’ah/Jama’ah dll” kepada najis atau sucinya anjing.[14] 

b. Beliau dan murid-muridnya mengadakan sholat Jum’at tersendiri di rumah kecil milik jama’ah di dekat masjid Jami’...kerana ada yang dengki dan melaporkan ke Polisi, maka beliau dipanggil dan dimintai keterangan oleh Polisi, ”Mengapa mengadakan sholat Jum’at sendiri?’ Beliau menjawab,”Kami tidak mengadakan sholat Jum’at. Kami baru belajar sholat Juma’at. Kerana kami malu kalau belum bisa sholat Jum’at. Nanti kalau sudah bisa sholat Jum’at kami akan ikut sholat di Masjid Jami’. Akhirnya polisi hanya mengatakan, “Ohh, yaa sudah, kalau begitu”.

[15]

 

 

Konsep Fathonah Bithonah Budiluhur yang diamalkan kumpulan Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah di dalam urusan dakwah membenarkan pengikut Jama’ah untuk berselindung bagi memelihara Jama’ah dan usaha dakwahnya. Konsep ini bermasalah kerana Al-Quran telah menerangkan bahawa dalam melaksanakan dakwah seorang pendakwah perlu berterus terang dan tidak berselindung. Firman Allah s.w.t  dalam surah Yusuf ayat 108: 

 

 )قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ ( 

 

Yang bermaksud : “Katakanlah : Inilah Jalan ku, aku mengajak (kamu) kepada Allah di atas pertunjuk yang nyata, jalan aku dan jalan mereka yang mengikutiku, Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.” 

 

Nabi s.a.w juga melarang umatnya untuk berkata dusta. Sabdanya yang berbunyi : 

مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّى. 

Yang bermaksud : Barangsiapa yang berdusta, maka dia bukanlah dari kalangan ku. [16]  

Di antara ciri-ciri sesuatu ajaran agama yang diragui kebenarannya adalah apabila para pengikutnya sering berusaha untuk menyembunyikan ajaran mereka dari diketahui masyarakat umum. Seperti yang dinyatakan Khalifah Umar ibn Abdul Aziz: 

 

قَالَ عُمَر بن عَبْدُ العَزِيْز : « إِذَا رَأَيتَ القَومَ يَتَنَاجَونَ فِي دِينِهِم دُونَ العَامَة فَاعلَم أَنَّهُم عَلَى تَأسِيس ضَلاَلَة ». 

Yang bermaksud : Umar ibn Abdul Aziz berkata : Jika engkau melihat suatu kaum yang berbisik-bisik [berbicara rahsia] tentang agama mereka, tanpa  membawa orang ramai [dalam perbincangan], maka ketahuilah bahwa dasar mereka adalah sesat. [17] 

    • Penggunaan Kitab dalam bahasa Arab tanpa disertakan sebarang penerangan bertulis serta isu tenaga pengajar yang tidak berkelayakan:  

Perkara ini menimbulkan kerisauan kepada Jawatankuasa Fatwa, kerana kebanyakan kitab-kitab yang digunapakai dalam pengajian Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah ditulis dalam bahasa Arab. Adapun penerangan terhadap teks-teks tersebut biasanya dilakukan oleh seorang pengajar dari kalangan mereka. Huraian yang disampaikan tertakluk kepada pemahaman guru-guru yang mengajar. Kebanyakan tenaga pengajar kumpulan ini didapati tidak mempunyai kelayakan rasmi, mereka juga tidak tersenarai di dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) di Singapura. Mereka juga tidak bersandarkan kepada pandangan ulama Ahlus Sunnah Wal Jama’ah di dalam menghuraikan teks bahasa Arab.  

 

 

Keputusan Jawatankuasa Fatwa 

 

5        Berdasarkan penilaian Jawatankuasa Fatwa terhadap penulisan-penulisan yang masih digunapakai kumpulan Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah, serta temuduga bersama mereka, Jawatankuasa Fatwa mempunyai keprihatinan bahawa masih terdapat unsur-unsur ajaran yang diasaskan Nurhasan Ubaidah yang dikekalkan oleh kumpulan ini. Ajaran-ajaran tentang Jama’ah, Bai’ah dan Keamiran berbentuk amat eksklusif dan melampau kerana menafikan kesahihan Islam kaum Muslimin yang mengamalkan Islam selain dari tafsiran mereka.

Ajaran-ajaran ini juga bersandarkan kepada penafsiran mereka terhadap hadith dan ayat Quran yang bercanggah dengan pendapat para Ulama muktabar. Ini boleh membawa kepada kekeliruan hukum Islam dan unsur ta’assub yang memecah-belahkan masyarakat dan keluarga. Atas dasar ini, Jawatankuasa Fatwa merumuskan bahawa ajaran-ajaran yang diasaskan oleh Nurhasan Ubaidah ini adalah merbahaya dan tidak boleh diamalkan atau disebarkan, serta boleh membawa kepadakesesatan dan penyelewengan 

 

6        Dalam pertemuan yang diadakan bersama pihak pengurusan Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah di Pasir Panjang dan tenaga pengajar mereka, mereka akur akan keprihatinan Jawatankuasa Fatwa, dan mengisytiharkan untuk meninggalkan ajaran-ajaran tersebut. Jawatankuasa Fatwa memandang serius terhadap pengisytiharan ini demi memastikan bahawa unsur-unsur yang boleh membawa kepada kekeliruan hukum dan penyelewengan dibasmi dan dihentikan penyebarannya oleh kumpulan Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ah 

 

7        Jawatankuasa Fatwa menggesa golongan yang telah menganggotai kumpulan Islam Jama’ah/Quran Hadith Jama’ahuntuk meninggalkan ajaran Nurhasan Ubaidah yang bermasalah, dan seterusnya menghadiri pengajian agama daripada asatizah yang bertauliah untuk menjaga kemurnian iman dan pengamalan Islam mereka.  

 

8        Jawatankuasa Fatwa juga menasihatkan anggota masyarakat secara umum untuk menolak dan menjauhi sebarang bentuk ajaran agama yang boleh  memecahbelahkan masyarakat dan berdasarkan penafsiran yang bersifat eksklusif dan melampau. Masyarakat Islam juga diingatkan untuk lebih peka dalam menilai tenaga pengajar di dalam pengajian agama dan hanya menghadiri kelas atau kuliah agama yang dikendalikan oleh asatizah yang bertauliah.  

 

والله أعلم ، وبالله التوفيق ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلّم. 

 

 

 

DR MOHAMED FATRIS BAKARAM 

MUFTI NEGARA SINGAPURA 

PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA 

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA