AhmadiNews

 FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 

Pengguguran Anak

Soalan :

Apakah pandangan Islam tentang pengguguran anak?

Jawapan :

Para ulama bersependapat bahawa pengguguran anak selepas 4 bulan hukumnya adalah haram, bahkan ia merupakan satu perbuatan jenayah[1]. Perbuatan ini merupakan suatu pembunuhan ke atas makhluk hidup yang telah cukup sifat dan nyata hidupnya. Oleh itu umat Islam sama sekali ditegah dari melakukannya. Kecuali pengguguran itu terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan nyawa si ibu tersebut.

Pengguguran sebelum 4 bulan pula, para ulama tidak bersependapat.[2] Ini disebabkan terdapat perselisihan sama ada kandungan itu telah hidup atau sebaliknya. Sebahagian besar ulama cenderung kepada menyatakan bahawa kandungan itu sudah hidup bersandarkan kepada ilmu perubatan. Berasaskan hal ini mereka menghukumkan pengguguran benih itu sebagai haram.

Memandangkan kepada kenyataan ilmu perubatan bahawa janin itu sudah hidup sejak pencantuman benih lelaki dan perempuan, maka Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa hukum pengguguran anak dalam kandungan adalah haram, tidak kira umur benih dalam kandungan.